PUTRAJAYA: Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana di negeri itu sejak 2022.

Menurut sumber, Mohd Shukri disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan projek terlibat termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan Mohd Shukri pada kira-kira 11 pagi semalam semasa beliau hadir untuk dirakam keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.

Setelah lapan jam, Mohd Shukri dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Terdahulu, kenderaan Toyota Noah yang membawa Mohd Shukri dilihat meninggalkan pekarangan SPRM pada 6.55 petang, selepas hadir memberi keterangan pada 9.50 pagi.

"Macam-macam kes, saya pun tak pasti (disiasat di bawah akta apa)," kata Pesuruhjaya Pas Perlis itu secara ringkas kepada media ketika ditanya berhubung perkembangan siasatan dan akta berkaitan.

Ditanya sama ada beliau akan dipanggil lagi ke ibu pejabat SPRM selepas ini untuk dirakam percakapan, beliau hanya menjawab "tidak ada".

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata Mohd Shukri dibebaskan dengan jaminan selepas memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di sini. 

Pada 28 April lepas, SPRM mengesahkan siasatan dijalankan terhadap seorang pemimpin kanan di utara tanah air kerana disyaki melantik beberapa syarikat dipercayai mempunyai kepentingan dengannya membabitkan projek pembekalan dianggarkan bernilai RM300,000.

Sumber SPRM berkata pemimpin itu juga disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan jalan, yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar kira-kira RM1 juta, dan syarikat itu dipercayai mempunyai kepentingan dengan anak pemimpin berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan lima individu termasuk anak Mohd Shukri ditahan SPRM berhubung kes membuat tuntutan palsu berjumlah hampir RM600,000 baru-baru ini.

-- BERNAMA